CSR Jejak Bakti Alam: Misi Pemuliharaan Hutan Paya Laut

SEKINCHAN, 16 JUN 2025 – Fakulti Alam Bina (FAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melalui Persatuan Ukur Bahan (PERUBAHAN) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan pemuliharaan alam sekitar di pesisir Sungai Nibong, Batu 23, Sekinchan, Selangor.

 

Program ini merupakan inisiatif kesedaran dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya memelihara ekosistem hutan paya laut (bakau) yang semakin terancam. Ia telah dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia), Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Sahabat Alam Malaysia (SAM), serta disertai oleh pensyarah jemputan dari Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam dan UiTM sendiri.

 

Seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM, pensyarah Politeknik dan UiTM, serta komuniti setempat telah berganding bahu menjayakan aktiviti penanaman 600 batang pokok bakau sebagai langkah nyata dalam usaha pemeliharaan hutan pesisir.

 

Program turut diserikan dengan dua sesi Bicara Bakau oleh wakil SAM dan UiTM, sebagai ruang pemindahan ilmu berkaitan kepentingan hutan paya laut serta kaedah pengurusan mampan.

 

Jejak Bakti Alam bukan sekadar program CSR tetapi ia telah mencetuskan tindakan, menyemai kesedaran, dan memperkukuh jaringan antara institusi, NGO dan komuniti dalam usaha membina masa depan yang lebih lestari.

 

Penulis: Dr Anis Rosniza Binti Nizam Akbar

             Penasihat Program

 

 #UiTM #UiTMDiHatiku #weareFAB #weareAlamBina

#FakultiAlamBina #CSRUiTM #CSRPERUBAHAN #CSRukurbahan #JejakBaktiAlam

#HutanPayaLaut #PemuliharaanBakau #AlamSekitarLestari

#GRASSMalaysia #JARING #SAM #Politeknik