PUNCAK ALAM, 14 Mei 2025 – Fakulti Alam Bina (FAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan program tahunan Built Environment Entrepreneurship Day (BE_e Day) 2025 pada 14 Mei 2025 bertempat di Dewan Kuliah 1, Kampus Puncak Alam. Program ini dianjurkan oleh Unit Keusahawanan di bawah kelolaan Koordinator Keusahawanan FAB dan merupakan sebahagian daripada pengisian Minggu Kesejahteraan Siswa (MKS) peringkat fakulti.
Tiga sub-program utama telah menjadi pengisian utama BE_e Day 2025 dalam usaha memperkukuh budaya keusahawanan dalam kalangan warga FAB. Sesi pertama melibatkan Sembang Santai bersama YBrs. Prof Madya Dr. Badrul Isa, Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) yang mewakili MASMED (Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia). Sesi ini memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan universiti bagi membincangkan hala tuju, cabaran serta peluang dalam bidang keusahawanan di UiTM.
Majlis penyampaian hadiah turut diadakan bagi mengiktiraf para pemenang pertandingan Innovation Entrepreneurship Idea Creation, yang menampilkan idea-idea perniagaan baharu yang inovatif dan berpotensi untuk dikomersialkan.
Seterusnya, Pasar FAB pula menyediakan medan amali kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu keusahawanan melalui aktiviti jual beli, selain membuka ruang kerjasama strategik bersama usahawan luar bagi memperkukuh jaringan industri di peringkat fakulti.
Program BE_e Day 2025 dilihat dapat menyumbang kepada pembangunan graduan holistik yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan akademik dan teknikal, malah bersedia untuk bersaing dalam pasaran melalui pemikiran keusahawanan dan kebolehpasaran yang tinggi.
Penganjuran program ini dijangka akan diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih luas daripada pelbagai pihak termasuk alumni dan industri, selaras dengan aspirasi UiTM untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan dalam kalangan mahasiswa
Penulis : Dr Anis Rosniza Binti Nizam Akbar
Koordinator Keusahawanan Fakulti Alam Bina
#UiTM #UiTMDiHatiku #weareAlamBina #weareFAB #FakultiAlamBina #BE_eDay2025 #KeusahawananFAB #KeusahawananUiTM